Selepas kemelut selesai, PAFA, Perak FC perlu berunding – Exco

Berita Perak

PARIT: Kerajaan negeri Perak mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Perak FC dan mengadakan perbincangan dan rundingan selepas kemelut dalaman persatuan bola sepak tertua negara itu akhirnya selesai.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia antara lain bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri.

“Saya berharap agar PAFA boleh bekerjasama sebaik mungkin dengan pasukan Perak FC untuk bersama-sama berbincang serta berunding bagi mendapatkan kata dan persetujuan.

“Ia bertujuan agar Perak menjadi padu dalam Liga Super dan liga-liga lain serta menjadi salah sebuah pasukan yang hebat dan menjadi pencabar kepada pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Santai Port Luck Sambil Healing Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, di sini, hari ini.

Beliau berharap selepas segala kemelut selesai, PAFA dapat memberi tumpuan membangunkan sukan bola sepak di Perak.

“Sudah pasti apabila selesai isu pendaftaran, pengantungan dan sebagainya saya mengharapkan agar PAFA boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin.

“Berilah tumpuan dan fokus yang mana pada hemat saya pertamanya melibatkan pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi dengan mewujudkan pertandingan, klinik dan bengkel.

“Keduanya dari segi kejurulatihan, kerana untuk melahirkan pasukan yang baik, pemain berbakat mesti ada jurulatih yang baik, jadi PAFA juga perlu memikirkan rancangan pembangunan kejurulatihan, kepengadilan dan futsal yang sememangnya di bawah struktur ia sendiri ,” ujarnya.

Khairudin berkata, beliau difahamkan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PAFA akan diadakan dalam masa terdekat dan pihaknya akan menunggu apakah perancangan badan induk sukan bola sepak negeri itu.

Pada Jumaat, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin mengesahkan rayuan bagi menghalang pembatalan pendaftaran badan induk bola sepak negeri itu diterima dan diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mohd Azhar berkata, perkara itu disahkan menerusi surat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bertarikh 9 Februari 2024.

Menurutnya, melalui surat itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menerima rayuan dan mengekalkan pendaftaran PAFA di bawah Seksyen 21(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan keputusan tersebut muktamad.