Saravanan sumbang RM64,500 kepada masjid, surau di Parlimen Tapah

Berita Perak

TAPAH: Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan meneruskan tradisi memberi sumbangan kepada masjid dan surau setiap kali bulan Ramadan, sejak beliau menjadi Ahli Parlimen pada 2008.

Timbalan Presiden MIC itu berkata, setiap masjid menerima sumbangan RM1,000 manakala surau RM500.

Menurutnya, walaupun berlainan agama, tetapi hubungannya dengan pihak masjid dan surau, khususnya di Tapah, sangat baik.

“Ini memang budaya di Parlimen Tapah, sejak saya menjadi wakil rakyat di Parlimen Tapah, sama ada saya ada jawatan kerajaan atau tak ada jawatan, kita teruskan budaya itu.

“Itulah hubungan kami cukup rapat dengan pihak masjid dan surau.

“Walaupun saya daripada agama berlainan, tetapi seperti mana kita terima agama Islam sebagai agama rasmi negara, kita menjalankan tanggungjawab kepada umat Islam,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 19 buah masjid dan 91 surau dalam Parlimen Tapah di Bangunan UMNO Tapah, pada Khamis.

Beliau memberi jaminan program seumpama itu akan diteruskan di masa akan datang.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Saravanan berkata, walaupun yakin tetapi beliau lebih selesa jika calon BN dianggap ‘underdog’.

Dalam masa sama, beliau berharap penglibatan jentera luar dapat dikurangkan kerana masyarakat Tapah agak sensitif dengan kehadiran ramai jentera luar.

Bagaimanapun, katanya, beliau sangat mengalu-alukan sokongan dan bantuan dari segi logistik dan kewangan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Pada 7 Mac lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini membabitkan 31,897 pengundi manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.