Saksi kemalangan lori tangki melintang tutup laluan di Lebuhraya Utara Selatan diminta tampil

Berita Perak

IPOH: Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan sebuah lori tangki terbabas sehingga melintang menutupi laluan di Kilometer 313.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Tapah, semalam, tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, kemalangan yang tular di media sosial itu melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah motojip.

“Kemalangan didapati berlaku lebih kurang pukul 8 pagi melibatkan lori tangki yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 57 tahun.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori yang dipandu di lorong kiri telah hilang kawalan dan terbabas melanggar besi penghadang di tengah jalan menyebabkannya terbalik serta melintang sehingga menutup kedua-dua laluan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Naim berkata, dalam masa sama datang sebuah motojip yang dipandu seorang lelaki warga emas berumur 69 tahun telah melanggar bahagian tangki tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pemandu kenderaan itu tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalam 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kes berkenaan melalui MERS999.

Menurutnya, panggilan berkenaan diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kerana berdasarkan maklumat awal hanya melibatkan kecederaan ringan kepada seorang mangsa.

Dalam masa sama, katanya, tiada kerja-kerja penyelamatan melibatkan mangsa tersepit, kebakaran atau penglibatan bahan berbahaya (hazardous material).