IPOH: Perak perkenal program 3S sebagai satu pendekatan holistik dalam memperkukuhkan kesejahteraan komuniti Orang Asli dalam aspek kesihatan, pembangunan sosial, keterjaminan makanan, pertanian komuniti dan pengukuhan hubungan masyarakat.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program ini memberi penekanan kepada tiga elemen utama iaitu Sejahtera, Sihat dan Sukan (3S).
Menurutnya, program itu dilaksanakan sebagai satu pendekatan holistik dalam memperkukuhkan kesejahteraan komuniti Orang Asli melalui penglibatan aktif jabatan dan agensi kerajaan.
“Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Perak dalam memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif, seimbang dan mampan, tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat.


“Selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, masyarakat Orang Asli akan terus diberi perhatian melalui pelaksanaan dasar dan program yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup, memperkukuh pembangunan modal insan serta membuka lebih banyak peluang ke arah kemajuan sosioekonomi yang lestari,” katanya ketika ditemui pada pasa Program 3S Bersama Komuniti Orang Asl di Kampung Sg Chadak, Hulu Kinta hari ini.
Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, bahkan memberi penekanan kepada usaha memperkasa potensi masyarakat Orang Asli melalui pembangunan komuniti, pemerkasaan ekonomi, peningkatan taraf pendidikan, kesejahteraan sosial serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Menurutnya, komuniti Orang Asli merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu terus diberi perhatian dalam aspek pembangunan sosial, kesihatan dan peningkatan kualiti hidup secara berterusan.
“Sehubungan itu, Program 3S bersama komuniti Orang Asli dirangka sebagai platform penyampaian perkhidmatan kerajaan secara teruskepada masyarakat melalui kerjasama strategik pelbagai jabatan dan agensi kerajaan,” ujarnya.
Katanya, selain memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, program itu turut memberi penekanan terhadap aspek keterjaminan makanan, kesedaran pemakanan sihat, penglibatan komuniti dalam aktiviti riadah serta pengukuhan hubungan sosial antara masyarakat dan agensi kerajaan.



Menurutnya, program itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa jabatan dan agensi di Perak bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Tambahnya, penglibatan pelbagai agensi ini diharap dapat memberi impak positif kepada komuniti melalui penyampaian maklumat, perkhidmatan dan aktiviti yang bersifat mesra rakyat serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program, antaranya demonstrasi masakan sihat dan pertandingan mewarna oleh FAMA,
pemeriksaan kesihatan percuma serta pendidikan kesihatan perkhidmatan gunting rambut percuma dan penukaran minyak hitam percuma kepada 60 penerima.
Mohd Zolkafly menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang disebarkan oleh pihak luar dan dalam, untuk kepentingan segelintir pihak.





