Rusuhan Penjara Taiping: Kertas siasatan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya

Berita Perak

Gambar Hiasan

IPOH: Kertas siasatan berhubung kes banduan merusuh di Penjara Taiping, pada Khamis lalu, telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, kertas siasatan itu mencadangkan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

“Keseluruhan seramai 13 saksi telah dirakam percakapan, termasuk warden dan banduan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Isnin, Mohamad Nasir berkata, polis telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan banduan di Penjara Taiping yang menyebabkan tiga warden cedera Khamis lepas.

Menurutnya, keterangan diambil daripada lapan banduan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dalam rusuhan itu dan tiga warden yang cedera.

Beliau berkata, rusuhan pada 3.30 petang itu dipercayai berpunca daripada provokasi oleh seorang banduan terhadap warden yang kemudian mencetuskan pertengkaran.

Ketiga-tiga warden berusia lingkungan 27 hingga 48 tahun terbabit cuba meleraikan rusuhan di antara lapan banduan yang baru kembali ke penjara itu setelah selesai menjalani kuarantin di Pusat Koreksional Kamunting.

Mengikut hasil siasatan, seorang banduan bertengkar dengan warden kerana tidak berpuas hati setelah ditegur kerana memprovok warden terbabit,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga warden cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Taiping sejurus selepas insiden manakala banduan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,” ujarnya.