Rumah Seri Kenangan Perak Tengah lokasi pertama Program Pertanian Bandar Negeri Perak

Berita Perak

PARIT: Rumah Seri Kenangan Perak Tengah di sini dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program Pertanian Bandar Negeri Perak Tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penghuni rumah tersebut dapat mengisi masa senggang dengan lebih produktif.

Katanya lagi, program itu juga merupakan susulan daripada seruan Menteri Besar Perak yang sering meuar-uarkan slogan ‘tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam dan selebihnya jual’.

“Inisiatif ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Pertanian Bandar Negeri Perak Tahun 2025 sebagai projek perintis.

‘Penghuni di sini berpeluang mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih bermakna , sambil meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Masjlis Perasmian Projek Pertanian Bandar Negeri Perak Tahun 2025 @ Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Ts. Norsiyenti Othman, Pengarah FAMA Negeri Perak, Azleena Zainal Abidin dan Penguasa Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Azlinda Ahmad Shaari.

Mohd Zolkafly turut merakam penghargaan kepada Jabatan Pertanian Perak dan FAMA Perak sebagai jabatan pemantau serta penyedia khidmat nasihat berterusan dalam projek hidroponik itu.

“Insya-Allah, program ini akan diteruskan di pusat pemulihan dadah (PUSPEN) dan tahanan di institusi penjara.

“Ini memberi mereka ruang dan peluang membekalkan dengan kemahiran pertanian apabila mereka pulang nanti,” katanya lagi.