LUMUT: Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh menganjurkan majlis tahlil bagi memperingati mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas, mengorbankan 10 pegawai dan anggota pada April lalu.
Majlis diadakan sempena Program MyQuranTime di Markas Udara TLDM Lumut di sini, hari ini.
Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, seramai 50 ahli rumah ngaji bersama-sama 70 pegawai dan anggota TLDM terilbat dalam program itu.
“Kami terpanggil untuk sekali lagi mengadakan Program MyQuran Time dan majlis tahlil ini sebagai mengenang jasa arwah-arwah yang telah pergi.
“Kita yang masih hidup ini juga memerlukan doa untuk keamanan dan kesejahteraan,” katanya ketika ditemui selepas program itu.
Turut hadir, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim; Ketua Staff Markas Udara TLDM Lumut, Kapten Ruzman Mat; Pegawai KAGAT Pusat Pembangunan Kerohanian, Major Suher Wajdi Abd Rahman dan Ketua Cawangan Koperasi Tentera Lumut, Lt Muhammad Shafiq Ridzuan Mohd Fadzil TLDM (B).
Sementara itu, Ruzman mengakui walaupun sudah lapan bulan tragedi tersebut berlaku, terdapat anggota yang masih terkesan emosi mereka kerana kehilangan kawan.
“Majlis ini sangat bertepatan kerana kita terus memperingati pegawai dan anggota yang terlibat.
“Malah ia juga untuk pengisian rohani sebab daripada tragedi hari itu, kita ada ramai yang terkesan sebab kehilangan rakan seperjuangan.
“Jadi, dengan majlis macam ini dia dapat menguatkan rohani anggota-anggota,” ujarnya.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.32 pagi pada 23 April lalu, 10 pegawai serta anggota TLDM terkorban apabila dua helikopter dinaiki mereka terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.
Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan nahas helikopter di negara ini sejak sembilan tahun lalu dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.
Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 Kdr Muhammad Firdaus Ramli, Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK JJM Joanna Felicia Rohna.