Rumah, kereta, motosikal musnah dalam kebakaran di Hutan Melintang

Berita Perak

IPOH: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Pergam, Hutan Melintang, hari ini, yang turut memusnahkan sebuah kereta dan motosikal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 10.45 pagi.

Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kelas C berkeluasan 30 x 90 kaki yang musnah terbakar 80 peratus.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Wira yang musnah terbakar 40 peratus dan sebuah motosikal jenis Yamaha SRX yang musnah terbakar 80 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Ketua Operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos 300 kaki dengan dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera dan dari parit yang berhampiran sehingga api dipadam sepenuhnya,” ujarnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohammad Nafis Nazmi Abdul Hadi tamat jam 1.03 tengah hari.