SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap dua ekor gajah liar yang menimbulkan konflik dengan penduduk beberapa kampung Orang Asli Pos Perwor, dekat Kuala Mu, Sungai Siput sejak 21 Januari lalu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah-gajah itu, masing-masing seekor betina Yong Shida, berumur 35 tahun dengan berat 2.3 tanah dan gajah jantan, Yop Talang berusia belasan tahun ditangkap pada Rabu lalu.
Menurutnya, Yong Shida akan dipindahkan ke Taman Negara Royal Belum pada Sabtu manakala Yob Talang pada Isnin depan.
“Gajah ini telah menimbulkan konflik bermula pada 21 Januari dan kemuncaknya pada 1 Februari di mana kumpulan gajah ni yang terdiri lebih kurang, terdiri lebih kurang antara 20 ke 23 ekor.
“Cuma ketika kejadian dia berpecah dua, jadi pada ketika itu dalam tujuh ke lapan ekor, telah merosakkan sebuah rumah lah penduduk di Kampung Kelatab, Kampung Talang, Kelatab, Pos Perwor.
“Jadi berikutan itu kita telah jalankan operasi dan berjaya menangkap pada 5 hb Februari yang lepas,” katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi memindahkan Yong Shida di Kampung Talang, Pos Perwor, dekat Kuala Mu, di sini, hari ini.
Dalam operasi itu, pihak Perhilitan menggunakan dua ekor gajah denak betina, Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu.
Mengulas lanjut, Shariff berharap penduduk kampung bersabar kerana pihaknya akan berusaha untuk membantu menyelesaikan konflik mereka dengan baki kumpulan gajah yang ada.
“Kita terima laporan dan di dalam pengetahuan kita, bahawa masih terdapat kumpulan gajah yang keluar masuk di kawasan ini.
“Kita akan berusahalah untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan penduduk supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada Perhilitan sekiranya berlaku konflik dengan haiwan liar itu.
“Kita akan tindakan, Unit Tindakan Gajah , khususnya di Sungai Siput ini, akan membuat pemantauan (dan mengambil tindakan sewajarnya),” katanya.



