Rezeki duda, ibu tunggal lima anak menang pertandingan memancing

Berita Perak

BUKIT GANTANG: Rezeki seorang duda dan ibu tunggal lima anak apabila mereka memenangi dua hadiah utama kejohanan memancing Kelubong Challenge dekat sini, pada Sabtu.

Md Nor Rahmat, 41, dan Azizon Saat, 56, menewaskan lebih 280 peserta dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000.

Md Nor berkata, dia akan menggunakan wang hadiah itu untuk membantu ahli keluarganya yang dalam kesusahan

“Saya akan gunakan duit ini sebaik mungkin. Saya tinggal bersama emak dan ada anak saudara yang sakit, insya Allah saya akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup kejohanan memancing Kelubong Challenge di Dewan Orang Ramai Kampung Kelubong, dekat sini.

Hadiah-hadiah kejohanan kali ketujuh itu disampaikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Md Nor berkata, dia mengambil masa kira-kira dua jam untuk mendapatkan ikan lebih sekilogram untuk muncul sebagai pemenang pertama.

Sementara itu, Azizon berkata, dia akan menggunakan wang hadiah untuk meneruskan kehidupan harian, lebih-lebih lagi perniagaannya agak perlahan sekarang.

“Saya pergi ke laut dan buka kedai juga, tapi hujan sekarang, berniaga sangat perlahan, memang saya terlalu mengharapkan (menang), hari-hari doa dan alhamdulillah dapat juga,” katanya.

Menurutnya, selepas menunggu kira-kira tiga jam, dia berjaya menaikkan ikan yang membolehkannya menjadi pemenang tempat kedua.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata, selepas tujuh kali untuk masyarakat setempat, mulai tahun hadapan Kelubong Challenge akan dibuka untuk pemancing seluruh negara.

“Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti dan juga tempat ini sebab dengan cara menarik ramai peserta, dia akan memberi peluang perniagaan kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap ia akan mendapat penglibatan daripada agensi kerajaan, khususnya untuk membantu seperti menaik taraf jeti-jeti yang sudah uzur.