Rangka manusia ditemui bersama motosikal dalam longkang di Lebuhraya WCE

Berita Perak

IPOH: Misteri bau busuk terungkai dengan penemuan rangka manusia bersama sebuah motosikal di dalam longkang Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah selatan, berhampiran Bagan Datuk semalam.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, kira-kira jam 3.39 petang, pihaknya menerima dimaklumkan mengenai satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal di lokasi berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan disedari melalui penemuan rangka manusia dan sebuah motosikal di dalam longkang setelah pekerja pembersihan terhidu bau budum ketika memotong rumput di lokasi.

“Penyiasatan polis percaya, semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menghala ke Sabak Bernam telah terbabas ke kiri jalan dan terjatuh masuk longkang.

“Mangsa tidak mendapat bantuan sehingga kejadian disedari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui adalah barang peribadi seperti telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai, dipercayai milik mangsa.

Menurut Mohammad Ali, semakan lanjut juga mengesahkan satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga di Balai Polis Teluk Intan, semalam dan dipercayai rangka manusia itu adalah seorang lelaki Melayu berumur 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619.

Ends