KUALA KANGSAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganggap isu peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR bukanlah bebanan atau masalah politik besar.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berpendapat, ia juga tidak akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi pilihanraya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka dalam masa terdekat.
“Hari ini rakyat masih lagi bercakap soal kos sara hidup, tentang soal harga barang, tentang soal prasarana, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.
“Inilah yang sepatutnya wajar menjadi rakyat dalam membuat penilaian pemimpin mana yang kita nak angkat dan pemimpin mana yang mampu menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi peringkat negeri Perak Tahun 2026 di sini hari ini, beliau berkata, PKR masih berjalan dengan baik seperti biasa.
Menurutnya, penerangan yang diberikan Nurul Izzah sendiri dan Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil juga sudah memadai untuk menjelaskan keadaan yang sebenar mengenai perkara itu.
Pada Khamis, Nurul Izzah mengejutkan pentas politik tanah air apabila menyatakan negara hasrat untuk jawatan tersebut walaupun baru setahun menyandang jawatan orang nombor dua tertinggi PKR selepas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat PKR kemudiannya memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada beliau.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan PRN Melaka, Muhammad Kamil berkata, PH di kini berada dalam fasa persiapan akhir termasuk menyiapkan jentera, program, dan calon bagi memastikan kesiapsiagaan yang terbaik.
Menurutnya, perbincangan mengenai agihan kerusi antara parti-parti komponen sudah pun dijalankan, dan segala persiapan sedang bergerak pantas tanpa berlengah lagi.
“Apa-apa keputusan mengenai rundingan atau perbincangan dengan pihak lain akan diputuskan kemudian.
“Yang penting sekarang, kita pastikan jentera kita berada dalam keadaan terbaik dan tidak bergantung kepada kelebihan atau kelemahan pihak lawan,” jelasnya.





