MANJUNG: Insiden kebakaran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar pada Isnin lalu, mendapat perhatian Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Perak, Tan Sri M. Ramasamy.
Beliau bersama-sama ahli MIC lain telah menziarah dan mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan.
Selain melihat sendiri keadaan kelas, makmal dan beberapa ruang bangunan yang terbakar, beliau turut diberi pencerahan berhubung masalah yang dihadapi setelah insiden itu berlaku.
“Saya telah mendengar penjelasan daripada bekas guru besar sekolah berkenaan tentang masalah yang dihadapi selepas insiden kebakaran tersebut.
“Saya turut berbincang mengenai pelbagai isu yang membelenggu sekolah itu, termasuk keperluan pemulihan dan bantuan untuk memastikan kelangsungan pendidikan para pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Ramasamy berkesempatan untuk berinteraksi dengan penduduk ladang di sekitar kawasan tersebut.
Ia termasuk cabaran yang mereka hadapi saban hari, selain beliau turut menunjukkan sokongan terhadap usaha pemulihan dan pembangunan komuniti di situ.
Baru-baru ini media melaporkan, beberapa buah kelas, makmal, stor dan kantin di SJK (T) Ladang Ayer Tawar, Ayer Tawar dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran.
Tiga kelas, sebuah makmal sains, stor peralatan dan kantin sekolah itu musnah terbakar sebanyak 70 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.52 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar, Sitiawan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar, Pantai Remis dan Bomba Komuniti Manjung bergegas ke lokasi.
Tambahnya, ketika kejadian terdapat beberapa orang guru dan pelajar berada di sekolah berkenaan, namun tiada mangsa yang mengalami kecederaan.