Rakan strategik, universiti pemangkin kejayaan pelan GGB TIC

Berita Perak

IPOH: TAJ International College (TIC) melancarkan Gerak Generasi Baru (GGB), inisiatif terkini untuk menggerakkan generasi baharu dengan memperkenalkan konsep ‘Learn and Earn’.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat TT, Tina Tajuddin berkata, ia bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk belajar sambil menjana pendapatan sekaligus membiayai kos sara hidup dan kos pengajian.

Menurutnya, sejajar dengan misi memenuhi keperluan hari esok melalui kecekapan yang diperoleh pelajar hari ini, TIC memperkasa mereka untuk menjadi pemimpin, inovator dan pengubah masa depan.

“Pelancaran GGB ini mencerminkan komitmen TIC untuk membantu tangani kos sara hidup dan beban kos pengajian tinggi.

“Saya melihat kebanyakan pelajar terutama generasi muda banyak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian, tanpa pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan yang bijak.

“Kalau kita lihat daripada statistik ekonomi negara, ramai yang dikelilingi dengan hutang pada usia muda.

“Oleh itu, dalam menjayakan usaha ini saya memperkenalkan GGB untuk mengatasi isu generasi baru dari dikelilingi hutang dan akhirnya belajar tanpa hutang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran GGB dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik dan universiti di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Ahli Majlis MBI, Azmy Mohamed Nazir yang mewakili Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sebagai pemangkin utama kejayaan pelan ini, kata Tina, TIC telah menjalin kerjasama erat dengan tujuh rakan strategik.

Tujuh rakan strategik itu ialah Majlis Pengetua Kinta Utara & Kinta Selatan, Majlis Kaunselor Kinta Utara & Kinta Selatan, Majlis Sukan Sekolah Daerah Kinta Utara, Majlis Belia Negeri Perak, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak, DRB-HICOM University of Automotive dan Universiti Geomatika Malaysia.

Menurutnya, kerjasama dengan tujuh rakan strategik itu bertujuan untuk memupuk kolaborasi yang kukuh di kalangan pelbagai pihak dalam membentuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi masa kini dan masa depan.

Beliau mengumumkan, dengan adanya kerjasama itu, TIC turut menawarkan 100 biasiswa sokongan pendidikan untuk “empower” belia-belia di Perak dengan harapan lebih ramai dapat menyambung pelajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis itu, Tina yang mewakili TIC turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan wakil-wakil DRB-HICOM University of Automotive dan Universiti Geomatika Malaysia.

DRB-HICOM University of Automative Malaysia diwakili Naib Canselor Profesor Datuk Sr Dr Omar Osman manakala Universiti Geomatika Malaysia diwakili Naib Presiden Kumpulan Universiti Geomatika Malaysia, Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose.

Turut diadakan penyerahan sijil kepada wakil lima lagi rakan strategik TIC.

Tina berharap inisiatif TIC akan menjadi penanda aras dan pemangkin agar dicontohi lebih banyak institusi pendidikan yang lain.

Sementara itu, Dr. Omar berkata, DRB-HICOM University of Automative Malaysia akan terus bekerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan, khususnya dalam bidang TVET.

Mazrin Rohizaq pula berkata, Universiti Geomatika Malaysia juga menyediakan pelbagai peluang dan laluan untuk pembelajaran sepanjang hayat.