Perak lancar portal khusus agropelancongan

Berita Perak

IPOH: Perak melancarkan portal ECODOOR.MY, yang pertama di Malaysia, khusus bagi industri agropelancongan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, portal itu yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) telah menghimpunkan kira-kira 200 pengusaha agropelancongan.

Menurutnya, portal itu akan mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di Perak untuk memudahkan pelawat mendapatkan pakej-pakej yang menarik.

“Menerusi pelancaran portal ini, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan kesedaran pelancong dalam dan luar negeri terhadap potensi agropelancongan di Perak, pada masa sama mencapai pertumbuhan yang signifikan dalam industri ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya.

Sementara itu, Yahanis berkata, portal berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosi produk secara dalam talian, seterusnya menjangkau pasaran yang lebih luas, khususnya pelancong luar negara.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini, berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsung Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban baru-baru ini.

“Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak dalam usaha mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak, selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk meluaskan penyertaan portal itu kepada pemain industri seluruh negara, seperti beberapa portal penginapan yang ada.