Promosi judi dalam talian, ah long di bazar Ramadan, polis tahan pasangan suami isteri

Berita Perak

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki menjadi dalang kegiatan mempromosi pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek lelaki berumur 54 tahun dan isterinya 53 tahun yang merupakan dalang sebenar kes berkenaan, ditahan di Sitiawan, kira-kira jam 12.45 pagi Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas satu telefon bimbit, satu buku catatan senarai peminjam wang, sebuah kereta, seikat kad mengandungi 130 keping yang tertera tawaran pinjaman dan tawaran judi dalam talian.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek lelaki mengaku telah ke bazar Ramadan tersebut bersama dua lelaki Cina yang diupahnya untuk menyebar dan mempromosi perniagaan pinjaman wang haramnya di bazar Ramadan Stadium Ipoh.

“Suspek juga telah menjalankan perniagaan tersebut semenjak tahun 2022,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, dua lelaki yang bersama suspek di bazar Ramadan ketika hari kejadian, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang dijumpai suspek dan diupah untuk mengedarkan kad dengan bayaran RM30.

Menurutnya, semakam yang dilakukan berdasarkan buku catatan yang dirampas, mendapati 90 peratus peminjam wang dari suspek merupakan orang Melayu di sekitar Daerah Manjung.

Katanya, suspek dipercayai membuat promosi di bazar Ramadan bagi mengembangkan lagi perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dengan mencari peminjam baru.

“Suspek juga mengaku perniagaan pinjaman haram yang dilakukan mengenakan bunga yang tinggi dan secara harian,” tambahnya.

Mohd Yusri berkata, soal siasat masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lain yang berkaitan.

Pada masa sama, ujarnya, pihak polis masih mengesan dua lagi supek yang dipercayai terlibat, bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyek 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Beliau meminta orang ramai yang menpunyai maklumat berkaitan perjudian dan pinjaman wang haram tersebut, menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu tular di media sosial kegiatan tersebut yang dibuat oleh salah seorang peniaga di bazar Ramadan Stadium di Ipoh berhubung kegiatan itu.

Rakaman berdurasi 1.01 minit itu menunjukan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar tersebut.