SUNGAI SIPUT: Projek kerepek Sejati MADANI Kampung Jaya Setia, dekat sini berjaya membantu menambah pendapatan 18 suri rumah dan ibu tunggal di sekitar kampung tersebut.
Berdasarkan kepada anggaran awal, rata-rata daripada mereka mendapat tambahan sekitar 30 peratus, berbanding pendapatan sebelum menyertai projek tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya Setia, Ebby Shaifullah Yussof berkata, projek itu yang bermula sejak tahun lalu telah memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi mereka.
Menurutnya, dengan peruntukan RM100,000 yang diperolehi pada Julai, mereka telah membuat sedikit ubah suai bengkel lama dan membeli peralatan yang barangan keperluan.
“Kita dapat peruntukkan bulan Julai, selepas kerja ubah suai dan pembelian peralatan, bengkel membuat kerepek ini mula beroperasi pada 11 November lalu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran produk kerepek Sejati MADANI Kampung Jaya Setia dan Bengkel JS Licious di sini hari ini yang disempurnakan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
Sementara itu, Pengurus Operasi JS Licious, Nor Hayati Abdul Karim berkata, produk kerepek yang mereka hasilkan dipasarkan di sekitar Perak, khususnya kedai-kedai di Sungai Siput.
Menurutnya, dengan bantuan daripada Kolej Komuniti Sungai Siput, mereka turut menjual produk di TikTok dan Shopee.
“Alhamdulillah, pada bulan pertama operasi, kami berjaya mencatat jualan lebih RM3,000, seterusnya lebih RM5,000 pada bulan kedua,” ujarnya.
Nor Hayati yakin, dengan penggunaan digitalisasi, pelbagai produk kerepek jualan mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk ke seluruh negara dan Asia Tenggara.
Katanya, antara produk yang dihasilkan ialah muruku karang pulut, kerepek halia, kacang peas, kerepek labu dan kuih tiram.
Sementara itu, Kesavan berkata, program Sejati MADANI telah memberikan impak kepada komuniti setempat dalam menghasilkan produk-produk yang boleh menjana ekonomi mereka dan memanfaatkan semula kepada masyarakat.
Menurutnya, daripada 38 kampung tradisional Melayu di Sungai Siput, hampir keseluruhan telah memulakan projek Sejati MADANI masing-masing, kecuali Kampung Batu 3.





