PRIM terima Anugerah NGO sempena Sambutan Maulidur Rasul 2024

Berita Perak

IPOH: Persatuan India Muslim Perak (PRIM) terpilih menerima Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah menerima anugerah itu daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadiah berupa wang tunai RM5,000 berserta plak dan juga sijil.

Mohamed Arib yang ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sehingga PRIM menerima anugerah tersebut.

“Ini akan memberi lebih semangat untuk NGO kita untuk memperbanyakkan lagi kerja bagi membantu masyarakat, insya Allah,” katanya.

Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukan oleh PRIM setakat ini ialah kuliah agama rumah ke rumah selain bantu barangan keperluan harian.

“Barangan keperluan dapur ini kami sentiasa memberi tanpa mengira kaum, asalkan mereka adalah golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Menurut Mohamed Arib, antara rancangan terkini persatuan ialah membeli dua unit kedai bagi mengimarahkan lagi program persatuan.

“Alhamdulillah, PRIM baru sahaja membeli dua rumah kedai untuk kita mengadakan program seperti kuliah agama di samping aktiviti lain untuk persatuan.

“Antara aktiviti kita termasuklah sambutan hari ibu, hari bapa, seminar dan majlis anugerah untum para pelajar,” tambahnya.

Beliau berkata, program-program yang dianjurkan adalah untuk semua, tanpa mengira kaum dan dalam masa sama, PRIM juga merancang untuk mengadakan program khas untuk saudara baru.