Pos Malaysia hantar pulang barangan Allahyarham Nur Farah Kartini ke Sarawak

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Bersimpati dan prihatin dengan tragedi kematian pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pada Julai lalu, Pos Malaysia menjayakan misi kemanusiaannya untuk menghantar pulang barangan milik arwah ke kampungnya di Sarawak hari ini.

Dalam satu majlis ringkas penyerahan barangan Allahyarham di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini, Pengurus Besar Pos Malaysia Negeri Perak, Noorzuriha Haron Noh Rashid turut menzahirkan rasa sedih denga apa yang berlaku ke atas graduan UPSI itu.

Menurutnya, Pos Malaysia berusaha untuk membawa pulang barangan Allahyarham dengan proses digerakkan terus hari ini ke Shah Alam dan dijangka sampai di rumah ibunya, Siti Salmah Abdullah di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak pada pagi Selasa.

“Bagi pihak Pos Malaysia, kami bersimpati dengan nasib yang menimpa Allahyarham dan keluarganya.

“Justeru, ini adalah sumbangan kemanusiaan Pos Malaysia buat keluarga Allahyarham,” katanya pada majlis itu.

Majlis penyerahan barangan Allahyarham termasuklah pakaian, bag, buku dan pelbagai barangan peribadi diadakan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini.

Alahyarham Nur Farah Kartini adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian UPSI dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di sini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang terharu dengan keprihatinan pihak Pos Malaysia itu dan menganggap ia sebagai satu rahmat dan mencerminkan nilai kasih sayang rakyat Malaysia.

“Pemergian Allahyarham Nur Farah Kartini mengundang simpati dan kasih sayang pelbagai pihak di seluruh Malaysia sehingga jenazahnya dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang untuk dikebumikan,” katanya.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pos Malaysia yang menggerakkan misi ihsan itu dan sudi membantu membawa pulang ke pangkuan keluarga barangan peribadi milik Allahyarham.

Menurutnya, UPSI sendiri menanamkan nilai-nilai kasih sayang dan mementingkan kebajikan pelajar dan kakitangan tanpa mengira pangkat untuk dibantu sekiranya ditimpa musibah.

Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim.

“Kami mempunyai RESQ Team, pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang sentiasa prihatin bersedia dan membantu mangsa pascabanjir tanpa mengira lokasi,” ujarnya.

Minggu lalu, Prof Md Amin ketika menghadiri Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak meluangkan masa bertemu ibu dan keluarga Allahyarham di kampungnya.

“Saya sendiri sukar menahan sebak sewaktu bertemu ibu Allahyarham yang dilihat tenang dan reda dengan pemergian anaknya,” katanya.