Polis tumpas sindiket edar dadah guna PATI, rampas sembilan kilogram Heroin

Berita Perak

IPOH: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan Hilir Perak selepas merampas sembilan kilogram bahan disyaki dadah jenis heroin dalam operasi di sebuah rumah di Langkap, pada Isnin malam

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang berada di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, operasi dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, kira-kira jam 9.30 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut telah menjumpai satu beg beroda berzip warna ‘rose gold’ tidak berjenama dan di dalamnya terdapat 20 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin jumlah keseluruhan anggaran berat ialah seberat sembilan kilogram yang dianggarkan bernilai RM110,000.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Mac lalu.

Katanya, dadah yang dirampas disyaki diperolehi dari negeri jiran sebelah selatan dan dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 11,000 orang penagih dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman tujuh hari sehingga 27 Mei depan bagi membantu siasatan.

Mohd Yusri berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaa, khususnya polis.