Ops Bersepadu: Imigresen Perak tahan 22 pendatang asing

Berita Perak

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 22 orang warganegara asing dalam serbuan ke atas 12 premis di sekitar Ipoh pada Isnin.

Pengarah Imigresen Perak, Datuk James Lee berkata, mereka adalah antara 38 warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, 22 warga asing itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Perak di Meru Ipoh untuk siasatan lanjut berhubung pelbagai kesalahan di bawah peraturan dan Akta Imigresen 1959/63.

“Antara kesalahan adalah tinggal lebih masa dan ada yang tidak mempunyai pas dan pasport.

“Kebanyakan yang ditahan adalah warganegara Bangladesh seramai 16 orang, Indonesia (2), Pakistan (2) serta masing-masing seorang Myanmar dan Kemboja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai operasi bersepadu di sekitar Ipoh di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan untuk siasatan lanjut itu berumur antara 25 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita.

Katanya, semasa operasi dijalankan, ada di antara warga asing cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan semula oleh pasukan penguat kuasaan.

Menurutnya seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan mana-mana majikan yang ingin mengambil pekerja asing diminta membuat permohonan secara rasmi di pejabat Imigresen yang berhampiran.