IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan operasi perjudian loteri awam tanpa lesen yang mencatat kutipan kira-kira RM5 juta sebulan, dalam tiga serbuan serentak di kawasan perumahan di Ipoh pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, polis turut menahan empat warga tempatan, termasuk seorang wanita, berusia antara 40 dan 70 tahun serta merampas pelbagai barangan, termasuk wang tunai lebih RM110,000.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan didalangi ejen judi yang terlibat secara langsung dengan penganjur di daerah Ipoh.
“Daripada siasatan juga didapati setiap ejen diberikan nilai kredit dalam pool sebanyak RM4 empat juta setiap bulan.
“Setiap ejen ini dibayar RM4 juta setiap bulan untuk menjalankan aktiviti ini, yang disediakan oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam tanpa lesen untuk bulan tersebut iaitu untuk bayaran jika bulan itu ada yang kena,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, PDRM juga berjaya mengenalpasti beberapa sub-ejen, ejen dan penganjur sindiket yang masih bergiat aktif di daerah Ipoh.
Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif di daerah Ipoh sejak awal tahun 2020 dan menjalankan kegiatan secara mobil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau menegaskan pihak polis akan mengambil tindakan tegas untuk menumpaskan sindiket itu sepenuhnya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak lebih
RM200,000 atau lima tahun penjara, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak memberkas 119 individu kerana pelbagai kesalahan jenayah sepanjang Ops Mega Cantas di seluruh negeri minggu lalu.
Menurutnya, tangkapan itu hasil 87 serbuan yang dilakukan dari 21 hingga 26 April lalu.
Katanya, tangkapan melibatkan 13 kes jenayah kekerasan, 24 kes jenayah harta benda dan 50 lagi lain-lain kesalahan.
“Dalam operasi ini juga kita telah membuat pemeriksaan atau dokumentasi terhadap 1,180 orang.
“Ia melibatkan pelbagai gender dan juga warganegara, malah ada warganegara tempatan dan warganegara asing,” ujarnya.
Menurutnya, daripada 119 orang yang diberkas, lima adalah lelaki Pakistan, serta masing-masing seorang lelaki warga Taiwan, Myanmar dan India serta enam wanita Thailand.





