Polis tahan empat penuntut universiti, rampas hampir dua kilogram ganja

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat penuntut sebuah universiti dan merampas dadah dipercayai ganja, seberat hampir dua kilogram di sebuah rumah di Seri Iskandar, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, dua penuntut lelaki dan dua perempuan, kesemuanya warga tempatan, yang berumur antara 20 hingga 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres tingkat kira-kira jam 1.40 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat berisi bahan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar 865 gram, satu ketulan mampat berwarna oren yang dibalut dengan plastik lutsinar berisi bahan jenis ganja, anggaran berat 1,038 gram serta dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ganja, anggaran berat 18 gram dengan anggaran nilai RM2,500.

“Siasatan awal mendapati dadah-dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri dan juga pengedaran.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkafli berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak telah menyita wang tunai kertas bercampur-campur berjumlah RM400, sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 dan seutas rantai berwarna kekuningan dengan anggaran berat 7.2 gram.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan, khususnya PDRM.

Justeru itu, katanya, PDRM Perak menyarankan orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembenterasan dapat terus dipertingkatkan.

Ujarnya, pihak PDRM menyeru semua lapisan masyarakat, khususnya penuntut pusat pengajian tinggi untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.