Polis siasat video tular pekerja restoran keluar kata kesat, halang tugas penguat kuasa MBI

Berita Perak

IPOH: Polis sedang menyiasat kes tular membabitkan pekerja sebuah restoran dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Menglembu, di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihaknya mengesan video tular memaparkan tindakan penguatkuasaan MBI terhadap sebuah restoran.

“Pada Rabu jam 6.43 petang, Polis Daerah Ipoh menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa berkait kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati, semasa pengadu bersama-sama pasukan penguat kuasa menjalankan sitaan kerusi dan meja berdasarkan aduan dari Jabatan Kesihatan MBI, berlaku provokasi oleh salah seorang pekerja restoran berkenaan.

“Suspek mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang penguat kuasa daripada menjalankan tugas.

“Pengadu turut memaklumkan bahawa salah seorang penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Justeru, katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Iaitu berkaitan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya, serta mengeluarkan kata kesat.

Tambah Abang Zainal Abidin, pihaknya sedang merakam keterangan saksi yang terlibat, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-2908095 atau ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri mengambil makluman berkenaan insiden tersebut.

“Kerajaan negeri ambil maklum video yang tular membabitkan insiden antara penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang awam di Taman Rasi Jaya, Menglembu.

“Saya telah mengarahkan siasatan segera dijalankan oleh pihak berkaitan, dan maklumat lengkap sedang dikumpul bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan sewajarnya,”katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mengambil langkah segera bagi menjernihkan keadaan.

“Saya menghargai kesabaran semua pihak sementara siasatan berlangsung.

“Saya ingin menegaskan ini bukanlah isu perkauman. Justeru, orang ramai diseru agar tidak menimbulkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” katanya.