Polis lepas tembakan amaran ke arah kenderaan bawa PATI, seorang suspek diberkas

Berita Perak

GERIK: Seorang daripada dua suspek yang melarikan diri dalam insiden polis melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan membawa pendatang tanpa izin (PATI) di Baling awal pagi tadi, berjaya diberkas.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood, suspek, seorang lelaki Melayu berumur 39 tahun ditahan di tepi jalan utama Gerik – Pengkalan Hulu, kira-kira jam 1.45 petang tadi.

Dalam kenyataannya di sini, Zulkifli berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam semasa melakukan sekatan jalan raya) Seksyen 26 Akta ATIPSOM 2007 (penyeludupan migran) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen (gagal mengemukakan pengenalan diri).

Terdahulu, media melaporkan polis terpaksa melepaskan lima das tembakan amaran setelah sebuah kereta yang dinaiki enam individu memecut laju ketika berhenti untuk satu pemeriksaan polis dalam sekatan jalan raya di Sungai Lebey, Gerik, Perak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima maklumat dari anggota bertugas di lokasi kejadian memaklumkan sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis.

Beliau berkata, berikutan itu anggota peronda MPV Gerik kemudian melancarkan “Op Kesan” di kawasan sekitar lokasi terbabit sebelum berjaya mengesan kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik.

Sewaktu hendak melakukan pemeriksaan, pemandu kereta itu terus memecut laju sehingga berlaku kejar mengejar lebih 70 kilometer sebelum memasuki daerah Baling.

“Berikutan itu, anggota polis terbabit meminta bantuan peronda MPV Baling.

“Kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan berbahaya dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya dari arah bertentangan,” katanya hari ini.

Shamsudin berkata, bagi mengelakkan kereta suspek melanggar kenderaan lain, anggota polis MPV Gerik memberi amaran melalui alat pembesar suara kenderaan sebanyak tiga kali.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kereta terbabit enggan menghentkan kenderaan itu menyebabkan anggota peronda terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah tayar kereta suspek.

“Lima das tembakan dilepaskan yang mana dua daripadanya terkena bahagian bonet kereta manakala tiga lagi tersasar.

“Namun kenderaan suspek masih memecut laju sehingga terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang, dekat sini,” katanya.

Shamsudin berkata, sebaik kejadian dua daripada suspek yang dipercayai pemandu dan penumpang hadapan kereta berkenaan berjaya melarikan diri di bawah jambatan sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan polis menemui seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 23 hingga 39 tahun.