PKR Perak sokong jawatan Presiden, Timbalan Presiden tak dipertandingkan

Berita Perak

IPOH: PKR Perak menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung, pada Mei depan.

Pengerusinya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, ia demi untuk kestabilan parti yang menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, walaupun PKR sentiasa meraikan demokrasi tetapi cadangan itu baik untuk kestabilan parti dan memastikan kerajaan dapat berjalan dengan baik.

“Kalau kita lihat Keadilan lah parti yang memberi secara terus ahlinya, satu ahli satu undi kepada kepada setiap pimpinan daripada peringkat cabang hingga ke peringkat pusat.

“Namun kita faham dengan keadaan kita menjadi kerajaan sekarang dan untuk memastikan kelangsungan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Perpaduan ini, saya rasa ada perkara yang perlu dinilai.

“Apabila parti Keadilan, menjadi parti tunjang utama kerajaan berada dalam keadaan baik, sudah semestinya parti-parti lain dan juga gabungan dalam kerajaan itu akan menjadi lebih kukuh lah, tapi bermula dengan parti Keadilan sendiri,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Pejabat PKR Perak di Ipoh pada Isnin.

Pada 1 Februari, media melaporkan PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Mei ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

Pada 26 Jan lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dilapor berkata parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.