Pesta Hartanah Bumiputera di Bazar Ipoh mulai esok

Berita Perak

IPOH: Salah sebuah syarikat hartanah terbesar di Perak, Team Keris Berhad (TKB) akan menganjurkan Pesta Hartanah Bumiputera di Bazar Ipoh (Silveritage) pada Jumaat hingga Ahad ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulan TKB Datin Irene Lee berkata, pesta hartanah tiga hari itu menawarkan pakej promosi yang sangat menarik bagi individu yang ingin memilik hartanah.

Menurutnya, dengan slogan ‘semua orang boleh memiliki hartanah’, mereka menawarkan pakej promosi menarik untuk pelbagai jenis hartanah.

“Tarikan utama acara kami adalah penerbangan belon udara panas, satu pengalaman seumur hidup untuk kebanyakan kita.

“Kami bukan sahaja menyediakan hartanah yang menakjubkan tetapi juga kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, pengunjung yang berdaftar akan diberi peluang menaiki belon udara panas dengan percuma.

Selain itu, katanya, sempena dengan sambutan kemerdekaan pada Sabtu, TKB juga mengundang penjawat awam untuk mengunjungi acara itu.

“Ia sebagai tanda menghormati dan mengiktiraf sumbangan serta pengorbanan mereka yang telah memberi impak positif kepada komuniti dan negara,” ujarnya.

Tambahnya, selain insentif yang diberikan kepada pembeli yang berjaya, terdapat juga insentif tambahan kepada penjawat awam apabila mereka berjaya membuat tempahan sepanjang acara itu.

Menurut, pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang acara itu, termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik dan lumayan.