IPOH: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) akan menganjurkan program mendekati masyarakat di perkampungan Orang Asli di negeri ini mulai tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Perkim Perak, Datuk Mohd Najmuddin Elias, sebagai permulaan program itu akan bermula di perkampungan Orang Asli di Lenggong.
“Kita mahu menganjurkan aktiviti Perkim kepada orang bukan Islam di perkampungan Orang Asli namun bukan berniat untuk mengajak mereka memeluk agama Islam tetapi mahu mendekati mereka.
“Antara pengisian program itu nanti seperti jamuan makan dan aktiviti hiburan untuk mereka yang tidak begitu melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian wakalah Dana As-Syakirin Petronas kepada asnaf mualaf Perkim Negeri Perak di sini pada Isnin.
Ujarnya, seramai 26 orang menerima sumbangan dana sebanyak RM1,000 setiap seorang.
“Pihak pengurusan Petronas menggunakan Perkim sebagai pengantara menyampaikan sumbangan tersebut kepada asnaf yang layak.
“Perkim berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengenal agama dan bangsa dan kita tidak fokus kepada golongan mualaf sahaja tetapi semua lapisan masyarakat,” katanya.