KAMPAR: Satu jawatankuasa penyelaras akan ditubuhkan bagi memantau modul program 90 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi, peranan NADI akan diperluas tahun depan.
“Jawatankuasa itu akan dianggotai beberapa agensi antaranya Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita akan menyelaras modul yang perlu diterapkan dengan turun ke kampung-kampung.
“Kerana kita sedia maklum komuniti madani, komuniti yang paling hampir dengan masyarakat.
“Tahun lepas sahaja kita laksana tiga program dalam setahun. Jadi saya nak menyerapkan dalam program tersebut perlu ada antaranya modul Perak Sejahtera.
“Dan begitu juga di NADI, apa juga program kita akan selaraskan dan masukkan elemen penerangan tentang Perak Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program One Stop Centre OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Kampar.
Tambahnya, buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menambah kewujudan NADI di Perak, sebaliknya akan menumpukan kepada penambahbaikan pusat sedia ada.