Perak, USAS kerjasama tanam padi di tanah terbiar

Berita Perak

IPOH: Selepas kejayaan projek perintis tanaman bawang di Ladang Bikam, Sungkai, kerajaan negeri Perak akan memulakan pula projek tanaman padi di kawasan tanah terbiar di Mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.

Projek di kawasan seluas lapan hektar di Kampung Kandang Hulu itu adalah hasil kajian Stesen Penyelidikan Padi dan Beras, Universititi Sultan Azlan Shah (USAS).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, projek perintis itu akan menggunakan varieti padi NMR 152 yang dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 2021.

“Jenis ini adalah tahan daripada cuaca, serangan penyakit dan yang lebih menariknya ialah dia tidak menggunakan banyak air seperti padi-padi tanaman padi yang lain.

“Memadai dengan keadaan air yang mungkin dalam semasa dalam satu sentimeter semasa untuk menentukan bahawa tanah itu tidak merekah,” katanya.

Beliau ditemui selepas taklimat daripada pihak USAS di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Menurut Zolkafly, pihak USAS juga akan melaksanakan projek tanaman padi di dalam polibag di halaman 20 buah rumah di kampung sama.

Selain itu, kata beliau, pihaknya merancang untuk turut memulakan projek tersebut di perkampungan Orang Asli seluruh negeri, bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri Lintang.

Katanya, sekiranya berjaya, projek itu dilihat mampu membantu menyelesaikan isu sekuriti makanan kerana terdapat lebih 11,000 hektar tanah terbiar di Perak.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, kerja-kerja awal projek itu telah dimulakan dengan penglibatan pemilik tanah berkenaan.

“Sebenarnya projek ni dah pun mula, perbincangan dengan ketua-ketua kampung, kenal pasti tanah-tanah terbiar di kawasan pun dah dibuat, lawatan pun dah dibuat, secara tak rasminya dah mula.

“Cuma secara rasmi pembentangan hari ni akan jadi tarikh mula lah untuk projek ni dan kita jangkakan dalam tempoh enam bulan, kita akan nampak perkembangan dia.

“Kalau padi tersebut hanya akan mengambil masa seratus sepuluh hari dan tempoh enam bulan tu insya-Allah akan akan nampak hasil,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan kajian, projek tanaman padi itu mampu mengeluarkan hasil antara lapan hingga sepuluh metrin tan sehektar.

Baru-baru ini, projek perintis tanaman bawang seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai berjaya memberikan hasil pengeluaran 2.3 tan tuaian pertama.

Perkembangan itu menandakan kejayaan projek perintis penghasilan bawang tempatan yang dilaksanakan kerajaan.