Perak semak undang-undang sewaan tanah kepada warga asing

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menyemak undang-undang yang berkaitan tanah sedia ada bagi mengelak sektor pertanian di negeri itu dikuasai warga asing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui memang terdapat warga asing yang menyewa tanah milik warga tempatan untuk pertanian di negeri ini.

Menurutnya, Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) diminta menyemak semula undang-undang sedia ada untuk ditambah baik.

“Kita ambil maklum tentang kegusaran itu sebab kalau saya turun padang memang terdapat di negeri Perak pun ada, di mana warga asing telah menyewa tanah orang tempatan untuk menanam sayur, memang ada.

“Cuma dari aspek undang-undang kita akan kaji dan melhat sama ada peraturan yang ada sekarang ini ada loophole atau kelonggaran di mana-mana atau kelemahan di mana-mana,” katanya

Beliau berkata pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.

Saarani berkata, perkara itu berlaku disebabkan orang tempatan yang tidak memanfaatkan tanah milik mereka.

“Saya nak ingatkan kepada orang tempatan, ia bukan salah warga asing yang bercucuk tanam tetapi salah orang tempatan yang ada tanah tetapi tak bercucuk tanam.

“Kita nak makan sayur, jadi oleh kerana orang tempatan tak nak tanam atas tanah dia sendiri, tak nak sewa tanah untuk tanam, maka pendatang asing ambil kesempatan,” ujarnya.