Perak pastikan aktiviti kuari tidak jejas ekosistem alam sekitar

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak sentiasa memastikan aktiviti kuari yang dijalankan di negeri ini tidak menjejaskan ekosistem alam sekitar, termasuk habitat hidupan liar.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, tindakan tegas akan diambil kerana isu ekosistem alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Justeru, katanya, tindakan tegas itu akan diambil oleh pihak berkuasa negeri melalui pengeluaran pajakan atau lesen melombong selaras dengan pindaan Kanun Tanah Negara 2008 yang telah mengklasifikasikan batu kapur dan batu granit sebagai bahan mineral.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan pengawalan aktiviti pengkuarian di Perak ditadbir dan dikawalselia dibawah Enakmen Mineral (Perak) 2003 dan Akta Pembangunan Mineral 1994.

“Dengan pelaksanaan ini setiap lot tanah kuari yang diluluskan untuk tujuan pengeluaran atau aktiviti pengorekan batu dikenakan bayaran bagi Kumpulan Wang Pemulihan Bersama (KWPB) setiap tahun sehingga tempoh pajakan melombong atau lesen melombong tuan punya tamat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN – Lubok Merbau) pada sidang DUN Perak di sini, hari ini.

Jelasnya, KWPB ditadbir oleh pihak berkuasa negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak (PTG) bagi tujuan pemulihan tanah kuari termasuk kawasan infrastruktur yang terlibat dan mana-mana kawasan sekeliling yang terjejas daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian.

Tambahnya, dalam memastikan alam sekitar kekal terpelihara dengan baik, penelitian terhadap aktiviti peletupan kuari yang dijalankan adalah perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Selain daripada itu, kawalan ke atas aktiviti peletupan di kuari yang selalu dikaitkan dengan impak negatif kepada alam sekitar, orang awam dan harta benda turut dibuat,” ujarnya.

Menurut Kok Lim, kerajaan negeri sentiasa tegas terhadap perkara itu dan langkah alternatif dalam memastikan aktiviti kuari tidak mengganggu ekosistem alam sekitar ini wajarlah dilaksanakan dengan sebaiknya.

Katanya, syarat-syarat yang ketat dikenakan ke atas aktiviti peletupan merangkumi reka bentuk letupan, pembedil yang bertauliah, waktu letupan, had parameter gegaran bumi dan ledakan udara.

Di samping itu, tambahnya, cadangan rekabentuk letupan yang disediakan oleh pembedil bertauliah perlulah disahkan oleh jurutera perunding perlombongan seterusnya hendaklah dikemukakan kepada JMG sebelum kerja peletupan dilaksanakan.

Menurutnya lagi, kesemua kuari yang berada dalam lokasi sensitif iaitu berhampiran dengan kepentingan awam perlulah mendapat kelulusan daripada pihak
berkuasa.

Ujarnya, pemantauan gegaran bumi dan ledakan udara menggunakan seismometer juga perlu dilakukan di lokasi kepentingan awam berhampiran atau mana-mana lokasi yang diarahkan oleh JMG.

“Kerja pemantauan ini turut dilaksanakan oleh pengusaha kuari sendiri atau melalui jurutera perunding.

“Keputusan pemantauan hendaklah direkodkan dan dikemukakan kepada JMG secara berkala,” katanya.

Secara keseluruhannya, kata Kok Lim, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pemantauan dan kawalan ke atas aktiviti pengkuarian bagi memastikan pengoperasian kuari di Perak dilaksanakan secara terkawal
tidak menjejaskan ekosistem alam sekitar.