Perak mohon RM10 juta, perkasa TVET tahun depan

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menggandakan usaha untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah mendapat lampu hijau daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukkan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan turun ke daerah-daerah untuk bertemu pelajar dan ibu bapa bagi menjelaskan program TVET.

“Kita akan bertemu memberi penerangan supaya selain daripada fokus untuk dapat 10 A, masuk universiti menjadi doktor atau arkitek, kita juga menyediakan peluang pekerjaan yang sangat luas dan semua peluang pekerjaan tersebut memerlukan sijil TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas jelajah akhir Program Tanya Cikgu Saarani (TCS) untuk tahun 2024 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Saarani berkata, JPN Perak akan menyusun jadual program, mengikut kesesuaian daerah dan bilangan sekolah yang ada.

“Kita ada 12 daerah, kalau di daerah yang besar, kita akan buat (program) lebih daripada sekali sebab yang paling penting mesej mesti sampai, bukan sahaja kepada murid, tapi juga ibu bapa,” ujarnya.

Beliau menjelaskan program itu sangat penting kerana Perak mempunyai kawasan perindustrian besar yang memerlukan ribuan tenaga pekerja mahir.

Antara kawasan perindustrian itu ialah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lumut; Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Kerian dan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor.

Dalam pada itu, Saarani berkata program memperkasakan TVET bukanlah bermakna mereka menidakkan keperluan pencapaian akademik tetapi untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak muda di Perak.

“Ada ramai graduan, dia ijazah tetapi masih perlu masuk TVET mengambil sijil bagi membolehkan dia menggunakan kemahiran itu untuk sesuaikan dengan ijazah yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi Majlis TVET negeri berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri tahun depan bagi mengenal pasti keperluan sebenar mereka.

Menurutnya, perbincangan itu perlu bagi menyelaras keperluan industri dengan subjek atau silibus yang sesuai dengan pusat-pusat latihan TVET.

Mengikut rekod, setakat ini terdapat lebih 100 buah institusi pendidikan di Perak dengan sekurang-kurangnya 62 daripadanyq menyediakan subjek TVET.