Perak libat Orang Asli dalam program keterjaminan makanan

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri Perak mahu melibatkan lebih ramai masyarakat Orang Asli dalam pelaksanaan pelbagai program keterjaminan makanan di seluruh negeri.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, masyarakat itu mempunyai beberapa kelebihan seperti mempunyai tanah pertanian di samping kepakaran dalam penanaman herba dan koko.

“Mereka banyak kemudahan-kemudahan sedia, kemudahan asas seperti tanah.

“Mereka dikatakan pengeluar herba dan boleh juga dalam akuakultur serta ternakan lembu dan kambing,”katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Bawong, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri memfokuskan program keterjaminan makanan mengikut kesesuaian kampung dan pos-pos Orang Asli di negeri Perak.

Menurutnya, ketika ini kerajaan telah melibatkan masyarakat Orang Asli dalam projek ternakan lembu di Hulu Perak, akuakultur di Tapah dan tanaman herba serta koko di Sungai Siput.

Beliau yakin penglibatan langsung masyarakat Orang Asli akan memperkukuhkan lagi sekuriti makanan di Perak.

Katanya, kerajaan negeri juga akan
melibatkan golongan belia Orang Asli dalam kursus-kursus di bidang penternakan, akuakultur dan pertanian untuk meningkatkan minat mereka dalam bidang-bidang berkenaan.

“Kebanyakan mereka tunjuk minat tetapi menghadapi masalah modal, keyakinan dan keupayaan untuk menceburi bidang-bidang itu.

“Insya Allah kita akan membantu sebaik yang mungkin kepada mereka yang berminat untuk majukan diri dalam keterjaminan makanan,” ujarnya.