Perak galak pemain industri ubah suai bangunan lama jadi hotel

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri menggalakkan pemain industri pelancongan mengambil alih mana-mana bangunan lama untuk dijadikan hotel atau bilik-bilik bagi menampung kekurangan penginapan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, cara itu lebih sesuai berbanding membina bangunan baharu, yang memerlukan masa lebih kurang dua tahun.

Beliau memberi jaminan, pihaknya bersedia untuk membantu, khususnya dalam bentuk promosi secara meluas bagi memastikan ia memenuhi permintaan.

“Salah satu usaha baik ialah kita tengok dah ada orang ambil alih (hotel) Syuen, sebagai contoh.

“Ada juga di tempat-tempat lain, bangunan-bangunan yang kita..saya rasa tuan-tuan dan puan-puan tahu manalah, bergantung kepada mereka.. mengambil alih bangunan lama yang dah sedia ada.

“Jadi tak perlu bina, mereka cuma masuk, buat ubah suai dan itu sahaja.

“Sudah tentu kita di pihak pelancongan, Tourism Perak, Tourism Malaysia dan sebagainya dan juga agensi-agensi pelancongan, akan membantu untuk memasarkan hotel-hotel tersebut,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis pra pelancaran Anugerah Pelancongan Perak 2024 dan sambutan Hari Raya Tourism Perak di Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, Perak, khususnya Ipoh masih mengalami kekurangan bilik penginapan bagi menampung kedatangan pelancong, khususnya hujung minggu dan musim cuti.

Mengenai Anugerah Pelancongan Perak 2024, Loh berkata, ia adalah antara inisiatif untuk merancakkan lagi Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, kali terakhir majlis itu diadakan ialah pada 2017 dan diadakan semula tahun ini untuk memberi penghargaan dan anugerah di atas jasa, sokongan, sumbangan serta pengorbanan penggiat industri pelancongan.

“Sebanyak 40 anugerah pelancongan akan dipertandingkan yang terdiri daripada 10 kategori iaitu penginapan, perkhidmatan, produk pelancongan, makanan dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau menambah, pencalonan akan dibuat secara dalam talian dan terbuka kepada penggiat industri atau yang dicalonkan oleh pihak lain.

Katanya, majlis anugerah akan diadakan pada 13 September depan dan pencalonan dibuka selama dua bulan mulai 1 Mei hibgga 30 Jun 2024.