Penunggang p-hailing maut dirempuh motosikal

Berita Perak

IPOH: Seorang penunggang p-hailing maut setelah terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Perpaduan dekat simpang Dataran Perpaduan 3, di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang apabila mangsa keluar dari simpang untuk membelok ke kanan.

Katanya, kemudian seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 16 tahun datang dari arah Tambun menghala ke Bercham.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, remaja tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kanan motosikal p-hailing, lalu terbabas dan jatuh di tengah jalan.

“Dalam masa sama penunggang p- hailing hilang kawalan dan terseret ke bahu kanan jalan sebelum terjatuh.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut penunggang motosikal p-hailing cedera parah di kepala dan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abang Zainal Abidin berkata, remaja tersebut pula cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan dan bedah siasat.

Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya lagi, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.