KUALA KANGSAR: Perbuatan tidak amanah seorang pemandu lori yang menjual minyak diesel syarikat kepada sindiket akhirnya terbongkar setelah dia ditahan semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dibuat di sebuah bengkel dekat Talang, di sini.
Katanya, operasi itu merupakan risikan dijalankan KPDN Perak selama seminggu di sekitar Kuala Kangsar.
“Modus operandi sindiket ini adalah pemandu yang tidak amanah ini akan menjual minyak diesel lori syarikat tempat mereka berkerja dengan harga RM2 seliter kepada pihak bengkel.
“Caranya dengan menyedutnya dari tangki asal lori mereka mengunakan pam dan hos masuk ke dalam tong jerry can di bengkel.
“Pihak bengkel kemudian menjual minyak kepada lori-lori pengangkutan lain dengan harga RM2.70 seliter,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, sehubungan itu, pemandu lori berusia 49 tahun dan seorang lelaki disyaki pemilik bengkel berusia 62 tahun ditahan bagi siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan telah menemui anggaran 286 liter cecair yang disyaki minyak diesel.
“Tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian.
“Sehubungan itu, cecair yang disyaki minyak diesel, kenderaan lori dan 27 unit tong telah disita untuk tindakan lanjut. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM95,909.48,” katanya lagi,
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, masyarakat disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.



