Pelbagai inisiatif diatur galak aktiviti pelancongan di Pengkalan Hulu

Berita Perak

IPOH: Usaha membangunkan Pengkalan Hulu tidak boleh dijalankan secara bersendirian tetapi disekalikan jajaran Kuala Kangsar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee, ia kerana daerah tersebut terletak jauh dari pusat di Ipoh.

“Kelebihan Pengkalan Hulu ialah ia merupakan pintu masuk ke Perak, dan kita lihat ia perlu dibangunkan bersekali dari jajaran Kuala Kangsar-Pengkalan Hulu.

“Lalu ia boleh disambungkan kepada pusat iaitu di Ipoh,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Mohamad Amin Roslan di Sidang DUN pada Selasa.

Mohamad Amin turut bertanyakan soalan apa tindakan kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan di Pengkalan Hulu yang kaya dengan nilai sejarah.

Sze Yee berkata, antara yang dilakukan ialah bantuan insentif projek infrastruktur seperti membekal dan memasang Papan Tanda Fun Map di pintu sempadan yang terdapat di Pengkalan Hulu.

“Ia bagi menghebahkan mengenai kawasan ekopelancongan dan warisan, malahan turut diaturkan program di kawasan Pengkalan Hulu untuk meraikan kepelbagaian warisan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri melalui Tourism Perak telah menyenaraikan acara pelancongan di Pengkalan Hulu dalam Kalendar Acara Pelancongan sempena Tahun Melawat 2024.

Ia meliputi Pertandingan Fotografi Pelancongan Pengkalan Hulu, Jom Makan Durian Kroh @ Pengkalan Hulu dan Karnival Pengkalan Hulu.

“Skop Pembangunan meliputi pembangunan semula Tasek Takong, pembangunan Pusat Riadah Bukit Berapit, menaik taraf Kroh Hot Spring & Riverside serta penyediaan dan pelaksanaan program latihan & pembangunan modal insan,” katanya.

Jelasnya, garis masa pelaksanaan pembangunan bermula suku keempat tahun 2023 dan projek dijangka diserahkan kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu pada suku kedua tahun 2025.