IPOH: Seorang remaja lelaki warga China berusia 17 tahun ditemui lemas dalam kolam sedalam 1.2 meter di Kondominium Meru Idaman , Meru Raya dekat sini malam tadi.
Difahamkan mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah antarabangsa itu disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.22 malam.
“Seramai lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya ke lokasi.
“Didapati mangsa lemas di dalam kolam dalam keadaan melintang.
“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Beliau menambah, bomba mengambil mangsa di dalam kolam dan membuat rawatan awal Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) sehingga petugas KKM sampai di lokasi.
Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



