Pasar raya dikenakan tindakan, jual gula peket melebihi harga ditetapkan

Berita Perak

MANJUNG: Sebuah premis perniagaan di Jalan Laksamana, Seberang Perak, Kampung Gajah, di sini dikenakan tindakan setelah didapati menjual barangan kawalan gula peket melebihi harga ditetapkan kerajaan.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, pemeriksaan menerusi Ops Samar itu dijalankan oleh KPDN Perak Cawangan Manjung pada Selasa jam 11.40 pagi.

Katanya, pasar raya itu menjual gula pasir putih bertapis kasar peket 1 kilogram (kg) dengan harga RM3, melebihi harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85.

“Tindakan kes ini adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan melalui maklumat orang awam melalui sistem e-aduan.

Sepasukan penguat kuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis dan menemui sebanyak 213kg gula kasar berada di dalam premis berkenaan.

“Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan Gula Pasir Putih Bertapis kasar melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Kamalludin menambah, sebanyak 213kg gula pasir bertapis kasar dan halus peket 1kg telah disita bersama dokumen yang berkaitan dan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM607.05.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang melanggar garis panduan dan syarat serta harga yang ditetapkan kerajaan.

“Peniaga yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Mereka boleh dikenakan penalti seperti berikut, iaitu individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Dan bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya lagi.

Katanya lagi, KPDN menasihatkan peniaga supaya lebih beretika dalam menjalankan perniagaan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.