Noor Hisam mulai tugas Ketua Polis Perak

Berita Perak

IPOH: Bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa hari ini.

Noor Hisam, 58, menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara pada 8 November tahun lalu.

Sebelum pelantikan itu, jawatan tersebut dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad di Di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Isnin.

Dalam ucapan sulongnya, Noor Hisam menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan pasukan di atas amanah dan kepercayaan menjawat jawatan Ketua Polis Perak.

Menurutnya, jawatan itu dengan sendirinya suatu amanah dan tanggungjawab besar untuk membawa Polis Perak di landasan yang betul selain memastikan keamanan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.

“Insya-ALLAH, berbekalkan pengalaman yang ada digabungkan lagi dengan kredibiliti dan sumbangan idea daripada Timbalan Ketua Polis Perak serta kerjasama semua Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah, saya yakin untuk mengetuai Polis Perak ini,” katanya.

Pada majlis itu, turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak yang baharu, Datin Noormawati Abdul Latip.

Noor Hisam pernah memegang beberapa jawatan sebelum ini antaranya Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan Timbalan Ketua Staf Operasi Darat dan Timbalan Ketua Staf Pasukan Khas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Menyertai polis sejak tahun 1989, anak kelahiran Sungai Siput itu juga berjaya diserap masuk dalam pasukan 69 Komando selain pernah menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste pada Jun 1999 hingga 2000.