NGO Perak persoal pemimpin politik bukan Islam pertahan penjual stoking tertulis kalimah Allah

Berita Perak

IPOH: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Perak mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam yang dilihat seperti mempertahankan penjual stoking tertera kalimah Allah dan memperlekeh usaha boikot yang dilakukan umat Islam.

Wakil NGO Misi Kita, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, usaha boikot yang dilakukan ketika ini adalah sebagai solidariti terhadap tindakan pihak tertentu yang menghina Allah.

Menurutnya, isu penghinaan seperti itu telah berlaku banyak kali, tetapi setiap kali terjadi ia mudah diselesaikan dengan permohonan maaf tanpa hukuman setimpal dikenakan.

“Isu ini sangat sensitif bagi umat Islam, ini bukan kali pertama, banyak kali, tapi bila jadi, lepas dua tiga hari buat permohonan maaf tapi sampai bila.

“Jadi kita tak ada kompromi selepas ini, orang Melayu Islam sudah banyak berlembut, nasihat baik-baik, bertolak ansur, lapor polis dan boikot secara aman cuma kurang ajar sahaja belum.

“Jadi tak perlulah ada mana-mana pihak yang keluarkan kenyataan seolah-olah mahu memperkecilkan isu-isu sensitif seperti ini,” katanya kepada pemberita di hadapan Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini.

Yushairil Iswan menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang dengan mengenakan tindakan paling tegas terhadap pihak yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama Islam.

Menurutnya, umat Islam di negara ini juga tidak perlu berganjak untuk meneruskan kempen boikot terhadap kedai serbaneka yang menjual stoking tertera kalimah Allah.

Tegasnya, kempen boikot perlu diteruskan bagi menunjukkan kuasa beli umat Islam yang sangat besar di negara ini.

“Sepatutnya Ramadan ini digunakan umat Islam untuk bertenang dan beribadah tetapi kita dihidangkan dengan perkara seperti ini.

“Saya hanya tuju kepada segelintir yang tak sensitif kepada Islam, tak kisah kamu Melayu, Cina atau India, apabila sentuh mana-mana agama itu dikira bersalah.

“Kami bangkit untuk nyatakan solidariti kami bahawa isu kalimah ini sangat sensitif dan saya berharap orang Melayu Islam di malaysia terus boikot dan jangan beri satu pun peluang kepada mereka. Semoga pihak berwajib memberi hukuman setimpal dan paling tegas,” katanya.

Pada sidang media itu beberapa NGO lain termasuk Prihatin Kuala Kangsar, Panji Iman Malaysia dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah (Permat) turut bersama-sama membuat laporan polis.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik menganggap tindakan boikot terhadap sebuah kedai serbaneka yang menjual stoking tertera kalimah ALLAH sebagai tidak wajar.