Nahas ragut nyawa 4 beranak: Attar Azim teruja mulakan hari pertama di sekolah baharu

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Kanak-kanak lelaki yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya serentak dalam kemalangan di Kuala Krai, Kelantan pada 2 Mac lalu, Attar Azim Syukran Jamil memulakan hari pertama di sekolah barunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara, hari ini.

Walaupun lewat seminggu daripada rakan-rakan yang lain, anak yatim piatu itu kelihatan gembira.

Ketika ditemui pemberita, Attar Azim, 9, kelihatan ceria dan bersemangat semasa tiba di pintu masuk sekolah berkenaan seawal 7.20 pagi.

Dia yang mengenakan seragam pengawas ditemani ibu saudara, Umi Salwa Ab Hamid, 40, dan sepupunya, Fareez Uzair, 10.

Menurutnya, dia tidak sabar berkenalan dengan rakan baharu dan mahu belajar bersungguh-sungguh.

“Attar rasa excited (teruja), seronok nak jumpa kawan-kawan baru.

“Tak sabar nak jumpa kawan-kawan, tak sabar nak belajar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak Tahun Tiga itu akan bertukar sekolah dari SK Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara, Felda Trolak Utara.

Sementara itu, Umi Salwa berkata, segala urusan pertukaran sekolah anak saudaranya itu dipermudahkan dan selesai semalam.

“Attar nampak seronok, cuma jangan terus sentuh emosinya, dia tak boleh lagi (lupakan kejadian itu), moga persekolahannya di sini baik-baik sahaja.

Menurutnya, Attar bangun awal pagi ini untuk sahur sebelum disiapkan untuk ke sekolah Attar dan sepupunya.

“Saya bekerja pada sebelah petang, jadi saya boleh hantar mereka pada pagi. Tamat waktu sekolah, abang saya (Nor Azam Ab Hamid) yang bertugas sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah sama akan menjemput mereka,” katanya memaklumkan jarak kediaman keluarga ke sekolah berkenaan kira-kira 300 meter.

Pada 2 Mac lalu, media melaporkan nahas membabitkan dua kenderaan yang meragut nyawa empat beranak di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan.

Dalam nahas kira-kira 1.40 tengah hari itu, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isteri Noor Aishah Razali, 35, dan anak mereka, Lufya Adeena, 1, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang yang terselamat dalam kenderaan dinaiki keluarga itu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Lima sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah Syukran Jamil dan Noor Aishah bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, serta Lufya Adeena, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, jam 11 malam pada 3 Mac lalu.