IPOH: Seramai 1,121 pelajar dan 487 ibu bapa dalam kalangan masyarakat India seluruh Perak telah dibawa ke Universiti Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST), Kedah pada Sabtu lalu.
Rombongan lawatan ke universiti terbabit dianjurkan oleh Badan Perhubungan MIC Negeri Perak di bawah pimpinan Pengerusinya, Tan Sri M. Ramasamy.
Kesemua mereka dibawa dengan menaiki bas, dengan tujuan mendalami lebih dalam kursus yang ditawarkan, termasuk fakulti yang ada di situ.
Menurut Ramasamy, program ‘AIMST Our Choice’ itu penting dalam memastikan kepentingan pendidikan sebagai pemangkin kejayaan dalam kehidupan serta pembangunan komuniti.
“Program ini telah dirancang dengan teliti selama sebulan oleh MIC Perak.
“Pelbagai strategi diaplikasi bagi memastikan lebih daripada 1,000 pelajar yang berusia 17 hingga 18 tahun menghadiri program ini dan dikawal dengan penuh disiplin.
“Antara langkah diambil termasuk menyebar maklumat secara meluas melalui media sosial, kunjungan ke sekolah terpilih.
“Serta sesi taklimat bersama guru dan ibu bapa bagi menerangkan kepentingan program ini,” katanya yang turut sama mengetuai lawatan tersebut.
Beliau yang juga Naib Presiden MIC berkata, ia turut membabitkan seramai 250 ahli jawatankuasa program dari seluruh negeri Perak.
“Para pelajar dan ibu bapa berpeluang melawat semua fakulti, sekali gus mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai kursus yang ditawarkan di sini.
“Lawatan ini bertujuan untuk memastikan mereka memahami bahawa AIMST menyediakan pelbagai program akademik yang memberi manfaat kepada pelajar.
“Kita mahu beri pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai peluang pendidikan di AIMST.
“Serta memperkukuh sokongan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan profesionalisme dalam bidang pilihan mereka,”katanya.
Antara kursus yang ditawar di sini seperti program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.
Penjelasan mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut diberikan.
Selain itu, beliau turut memberi motivasi kepada para pelajar dan masyarakat India secara menyeluruh.
“Melalui program ini kita dapat lihat satu kesinambungan perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat India di Perak.
“Terima kasih kepada Canselor Universiti AIMST, Tan Sri Dr. S.A. Vigneswaran dan Naib Canselor, Datuk Seri Saravanan bagi sokongan yang diberikan untuk jayakan program ini,” katanya lagi.








