IPOH: Seorang pesara Lembaga Air Perak (LAP) didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana menerima rasuah, sejak tahun 2011.
Tertuduh Mohd Zulhairi Mohd Zailani, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.
Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan LAP di Pusat Operasi LAP Wilayah Barat, Taiping menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada seorang lelaki dari November 2011 hingga Februari 2018.
Perbuatan itu dilakukan dengan suatu balasan sebagai upah bagi memperakukan tuntutan bayaran kerja syarikat lelaki berkenaan untuk menyelenggara dan membaiki paip air di LAP Wilayah Barat meliputi kawasan Larut, Matang dan Taiping.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudian menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.