GERIK: Sebanyak 15 sijil daftar lewat kelahiran telah diserahkan menerusi program Mekar bersama masyarakat Orang Asli di kawasan Hulu Perak pada Isnin.
Menerusi kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak, program berkenaan berperanan untuk menangani isu keciciran memiliki dokumen pengenalan diri.
Di samping memudahkan urusan pendaftaran masyarakat Orang Asli di penempatan RPS Banun Tasik Banding.
“Program Mekar bersama masyarakat Orang Asli di sini dianjurkan secara berkala dan untuk tahun ini, ia kali pertama dibuat.
“Ia memandangkan pejabat terdekat untuk mereka berurusan adalah di JPN Daerah Hulu Perak dengan jarak sekitar 60 kilometer,” katanya.
Turut hadir menyempurnakan program tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi) Sarinah Apisah dan Pengarah JPN Perak, Robatuladaiyah Mohd Isa.
Tambahnya, program turun padang itu melibatkan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti Mykad dan sijil kelahiran.
Ia tertumpu kepada golongan orang kurang upaya, warga emas, pesakit terlantar dan individu tinggal di pedalaman.
“Pada tahun 2024, sebanyak 185 program telah dijalankan di seluruh negara dan menerima 1,897 permohonan serta 1,686 khidmat nasihat.
“Dari jumlah itu, 9 merupakan program Mekar bersama masyarakat Orang Asli di Perak dengan 423 permohonan serta 329 khidmat nasihat,” katanya lagi.






