IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meraikan 127 pesara dan waris mereka dalam majlis Jasamu Dikenang 2023 di Hotel Casuarina @ Meru di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd. Rahman, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Kanan dan ketua-ketua jabatan.
Seramai 127 pesara terdiri daripada 92 bersara wajib, 23 bersara pilihan, 1 bersara sebab kesihatan dan 11 meninggal dunia telah diraikan dalam majlis tersebut.
Berucap pada majlis berkenaan, Datuk Bandar berkata, penganjuran program seumpama itu adalah sebagai apresiasi khas bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan para pesara.
Menurutnya, sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh mereka begitu bermakna, bukan sahaja kepada MBI, tetapi juga kepada perkhidmatan awam negara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada para pesara MBI dan wakil yang diraikan dan diharapkan kenangan berkhidmat di MBI kekal menjadi memori terindah buat semua yang dirai.
Ketika bercakap kepada pemberita kemudiannya, Rumaizi mengakui ada antara pesara yang diambil semula secara kontrak kerana kepakarannya sangat berguna.