MBI jadi PBT pertama sertai F8, Forum

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama mengambil bahagian dalam pameran sempena Makasar International Eight Festival (F8) & Forum.

Menurut kenyataan MBI, acara yang berlangsung di Pantai Losari Makassar Indonesia itu, turut melibatkan pameran daripada beberapa buah negara lain antaranya Jerman, Australia, India dan Filipina.

Sempena pameran itu, MBI telah memperkenalkan produk pelancongan setempat yang mengfokuskan konsep (3H) iaitu, Hipster, Health dan Heritage dan membawa produk terkenal Ipoh iaitu Kacang Ipoh dan Chang Jiang White Coffee serta mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, selain pameran, antara program lain yang turut diadakan adalah forum, pertunjukan Fesyen, Muzik dan kesenian, serta kepelbagaian makanan.

Program yang berlangsung selama lima hari bermula 24 Julai itu telah dirasmikan oleh Wali Kota Makassar Indonesia, Mohammad Ramdhan Pomanto.

Kira-kira 600,000 orang telah menghadiri dan memeriahkan acara berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, sempena festival tersebut, delegasi MBI telah mengadakan satu pertemuan bersama Mohammad Ramdhan Pomanto.

Pertemuan turut diadakan bersama Makassar Investment Forum (MIF) yang menjadi ruang untuk mempromosikan projek-projek strategik bandaraya.

MBI telah diwakili oleh Ahli Majlis Basri Mohamad Nor, Azmy Mohamed Nazir dan Muhammad Hamzah Md Hamdan.

Antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan singkat itu adalah berkenaan pelancongan, pentadbiran dan ekonomi setempat.

Sebanyak empat buah negara telah mengambil bahagian dalam sesi pertemuan bersama Wali Kota Makassar iaitu wakil Duta Besar United Arab Emirates Arab, Shaima Salem, wakil Duta Besar Singapura, Terrence Teo, Ketua Ekonomi Kedutaan Itali Giovanni serta wakil Datuk Bandar Ipoh.

MBI berharap pertemuan itu dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Ipoh, Perak dan Makassar, Indonesia.