Mayat lelaki ditemukan dalam tangki simpanan air di Pangkor

Berita Perak

PANGKOR: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan telungkup di dalam tangki simpanan air dekat Pelantar P5, Sungai Pinang Besar, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, Balai Polis Pangkor menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 3.15 petang.

Katanya, laporan itu menyatakan seorang lelaki tidak sedarkan diri ditemui di tangki simpanan berkenaan.

“Pihak polis ke tempat lokasi sebaik sahaja menerima maklumat tersebut bagi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan telungkup tidak sedarkan diri di dalam tangki simpanan air.

“Pemeriksaan oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh salurkan ke Balai Polis Pangkor atau hubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6886222 dan hotline Whatsapp 014-6828005.