IPOH: Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Ipoh meneruskan tradisi sejak lebih 10 tahun lalu dengan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan menjemput penganut agama lain.
Pengerusi masjid, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, setiap tahun mereka akan menjemput persatuan agama lain seperti Persatuan Budhiest Perak dan Soka Gakkai untuk sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, ia antara lain untuk mengeratkan silaturrahim selain merapatkan hubungan, sejajar dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan tular di media sosial ada pihak yang mempertikaikan persembahan Tarian Singa dan Yee Sang, acara itu tidak diadakan tahun ini.
“Kita menerima nasihat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk jaga sensitiviti masyarakat.
“Memang ada orang yang memainkan isu ini, kami tiada masalah, macam hari ini, tiada Tarian Singa, kita gantikan dengan pertunjukkan kungfu,” katanya kepada media selepas sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Ipoh, di sini, hari ini.
Sambutan dirasmikan Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd. Razak.
Dr Fadzli Cheah yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Ipoh, percaya Tarian Singa dan Yee Sang adalah tradisi kebudayaan orang Cina, bukannya unsur keagamaan.
“Orang Cina cakap, kalau tidak ada Tarian Singa, tak ada Yee Sang, bukan Tahun Baharu Cina, tapi saya percaya itu terpulang kepada niat kita masing-masing,” ujarnya.





